fbpx
Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

4 November 2020, Perlis:- Alhamdulillah syukur kehadrat illahi apabila Setiausaha Agung ADAM yang juga merupakan Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Perlis, Ustaz Fakhruddin Ar Razi dan pasukan DPIM telah berkesempatan menyantuni sebuah rumah seorang asnaf di Kampung Bukit Chabang, Jalan Padang Besar, Perlis. Program bantuan ini juga dibantu oleh Ustaz Rosmadi Ramli yang merupakan seorang pendakwah.

Sedikit tentang keluarga asnaf ini, Encik Baharuddin dan Ibu Makcik Haripah yang menjalani hidup bersama dua lagi anak mereka iaitu seorang anak lelaki berumur 28 tahun dan seorang anak perempuan berumur 22 tahun. Program bantuan ini adalah sumbangan peribadi daripada Yayasan ALSAFA melalui wakil ADAM kepada keluarga asnaf, En. Baharuddin.

Ibu Makcik Haripah menghidap penyakit sawan tarik dan tidak boleh berjalan. Manakala anak lelakinya, Mohd Hallaj, adalah pengidap Autisme dan juga OKU. Iklima,anak perempuan yang hanya dapat bersekolah rendah dan tidak dapat menyambung pelajaran ke sekolah menengah kerana terpaksa menjaga ibu yang sakit dan keadaan abangnya yang OKU.

Ketika bantuan sampai dilokasi rumah Encik Baharuddin, keadaan rumah  jelas kelihatan sangat dhaif. Perkara ini menyedihkan lagi apabila mereka hidup tanpa bekalan air dan eletrik. Mereka hidup tanpa kelengkapan rumah hatta tidak beralas sekeping tikar. Tingkap rumah mereka hanyalah ditutupi dengan sehelai kain sahaja tanpa cermin tingkap.

Melalui temu bual bersama keluarga Ibu Makcik Haripah, untuk bekalan air mereka hanya mengharapkan tadahan air hujan sahaja. Tadahan air hujan itulah yang digunakan untuk memasak, membasuh, mandi dan keperluan lain yang menggunakan air. Ketika musim kemarau maka bekalan air terpaksa diambil dari masjid yang berhampiran kira-kira 2 km dari rumah mereka.

Selain itu, kedudukan rumah mereka yang terletak agak jauh di kawasan hutan tanpa ada rumah lain yang berdekatan amatlah sulit untuk jiran atau orang kampung bagi menghulurkan bantuan. Diwaktu malam pula, mereka hanya menggunakan lampu minyak tanah untuk pergerakan didalam rumah. Keadaan nyamuk yang banyak serta cuaca yg agak panas menambah ketidakselesaan mereka sekeluarga.

Mendengar situasi begini amatlah menyentuh perasaan kami yang berkunjung ziarah keluarga ini. Dalam keadaan kita yang hidup penuh keselesaan dan kemewahan, masih ada lagi insan yang tidur beralaskan lantai ditemani nyamuk dan hidup dalam kepanasan. Semoga dengan kunjungan kami ini memberi sedikit sinar harapan untuk keluarga Encik Baharuddin dan Ibu Makcik Haripah bagi meneruskan kehidupan dan mendapat sedikit keselesaan dirumah. InsyaAllah.

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنيَا نَفَّسَ اللهُ عنهُ كربَةً مِنْ كُرَبِ يومِ القيَامَةِ ومنْ يسَّرَ عَلى مُعسِرٍ يسَّرَ اللهُ عليهِ فِي الدُنيَا والآخِرَةِ ومَنْ سَتَرَ مُسْلِماً سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنيَا والآخِرَةِ واللهُ فِي عَوْنِ العَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عونِ أخيهِ

Maksudnya“Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah SWT akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan di Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah akan memudahkan kepadanya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup (aurat atau keaiban) seorang muslim, Allah akan menutup (aurat atau keaiban) nya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya. Riwayat Muslim (2699)

Akhir kalam, pihak ADAM amatlah berharap dan mengalu-alukan bantuan daripada mana-mana pihak yang mahu turut membantu serta memainkan peranan masing-masing mengikut bidang dan kepakaran untuk membantu keluarga asnaf ini.

Oleh yang demikian, pihak ADAM ingin melancarkan satu tabung yang diberi nama ‘Tabung Prihatin’ bagi mengumpulkan sumbangan dan bantuan untuk meringankan beban tanggungan untuk mana-mana keluarga asnaf di Malaysia.

Sumbangan boleh terus ke Tabung Angkatan Dakwah Antarabangsa Malaysia (ADAM), MAYBANK 562740152188.

Resit sumbangan dan segala pertanyaan boleh dihantar ke nombor yang tertera, 017-5186941 (Ustaz Fakhruddin, Setiausaha Agung ADAM). Hanyalah Allah sahaja yang dapat membalas segala sedekah dan infaq kalian.

 

 

 

Posted in: